PUTRAJAYA, 10 Februari- Presiden Republik Turkiye Recep Tayyip Erdogan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya (UM).
Penganugerahan disempurnakan Tuanku Canselor UM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Majlis penganugerahan itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta beberapa kenamaan lain.
Anugerah itu dikurniakan atas kepimpinan cemerlang pemimpin Turkiye itu dalam hubungan diplomatik dan peranan signifikan di pentas antarabangsa.
Sebagai Presiden Turkiye sejak 2014 dan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2014, Erdogan telah memperkukuh hubungan Turkiye dengan kuasa besar dunia serta negara membangun, menjadikan Turkiye sebagai pemain utama dalam isu politik global dan diplomasi dunia Islam.
Kesemua pencapaian tersebut selari dengan aspirasi Universiti Malaya (UM) dalam mengiktiraf tokoh berwibawa yang memberi impak besar kepada dunia melalui kepimpinan, diplomasi, dan usaha kemanusiaan; serta aspirasi institusi itu untuk membentuk wadah strategik jangka panjang yang memberi impak besar kepada dunia.
Penganugerahan itu sebagai tanda penghormatan sekali gus pemangkin kepada usaha UM dalam mengangkat kecemerlangan akademik dan memperkukuh hubungan antarabangsa.