
KUALA LUMPUR, 12 Januari -Enam buah rumah setinggan musnah dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Klang Lama, Taman Hock Ann, Seputeh pagi tadi.
- Seorang lelaki warga Indonesia cedera melecur dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
- 39 penghuni berada di kawasan ketika kebakaran, selebihnya selamat.
- Operasi kawalan kebakaran bermula sekitar 9.11 pagi dan dikawal kira-kira pukul 10 pagi.
- Kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 10.45 pagi; punca masih disiasat.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 50 tahun mengalami kecederaan melecur.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.11 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dengan bantuan BBP Hang Tuah dan BBP Pantai kemudian dikerah ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Kanan Operasi, Mohd Suhaimi Mohd Razali, seramai 39 penghuni berada di kawasan terbabit ketika kebakaran berlaku.
“Dimaklumkan 39 orang penghuni berada di rumah setinggan ini dan seorang mengalami kecederaan melecur serta telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, manakala yang lain selamat.
Tahap kecederaannya berada pada tahap satu iaitu kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan badan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau memaklumkan, kebakaran berjaya dikawal sekitar pukul 10 pagi sebelum dipadam sepenuhnya pada pukul 10.45 pagi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.