
SHAH ALAM, 11 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman enam pegawai dan seorang bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM15,000.
- Enam pegawai dan seorang bekas anggota PBT ditahan SPRM disyaki menerima rasuah bagi urusan lesen perniagaan.
- Suapan RM500 hingga RM15,000 diberikan untuk mempercepat permohonan, pembaharuan dan melindungi syarikat daripada tindakan undang-undang.
- Siasatan mendapati kegiatan berlanjutan 2019–2023 dengan penerimaan rasuah bulanan melalui pemindahan ke akaun peribadi.
Suapan itu diberikan bagi mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.
Perintah reman selama empat hari sehingga 14 Februari itu dikenakan terhadap kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 daripada pemilik syarikat perniagaan sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen, selain melindungi syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023 dengan menerima wang rasuah setiap bulan melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing.