fb fb fb fb fb

Empat nelayan ditahan guna bot pukat rawa sorong

FOTO JABATAN PERIKANAN NEGERI KEDAH

YAN, 9 Januari- Empat nelayan yang menjalankan aktiviti perikanan menggunakan peralatan pukat rawa sorong ditahan di perairan Pantai Murni, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Pang Anak Nyukang berkata, mereka ditahan pada kedudukan 0.5 batu nautika dari pantai terbabit kira-kira pukul 3.20 pagi.

Ia ketika lima anggota dari Pangkalan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Negeri Pulau Pinang sedang menjalankan operasi Rondaan dan Pemantauan Vesel Penangkapan Ikan Tempatan menggunakan Bot Peronda Laju 31 di perairan berkenaan.

Dua bot dan peralatan pukat rawa sorong dianggarkan bernilai RM60,000 turut disita.
 
Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Perikanan Kuala Kedah dan disiasat dibawah Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.
 
Jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SITI AISHAH BINTI MD ISA