(FOTO HIASAN)
KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Empat langkah intervensi tambahan dilaksana bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah diarah untuk meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.
Langkah intervensi itu katanya telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram, kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu)
Sementara itu, bagi Sabah dan Sarawak pula, Mohamad berkata kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM950 , setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Oktober ini.
Melalui langkah itu,katanya ia membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.
Ujarnya, tindakan diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri itu adalah terhad.
Dalam perkembangan sama, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang pembelian panik.
"Akhir sekali saya ingatkan orang ramai supaya bertenang dan beli beras ikut keperluan dan kemampuan masing masing. Jangan buat pembelian, beli seperti biasa ikut keperluan keluarga masing masing," katanya.
Jelas Mohamad, bekalan beras tidak berkurangan, sebaliknya faktor harga beras import naik mendadak yang telah memberi kesan.