fb fb fb fb fb

Empat lagi Pembantu Penguasa Kastam didakwa tuduhan rasuah

Foto hiasan

SHAH ALAM, 29 Mei- Empat lagi Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 49 pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM39,800.

Tertuduh Alias Mat Yusop, 48; Mohd Rizal Othman, 43; Mohd Shahril Mohd Sukaimi, 39, dan Mohd Hanafie Che Mat, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Anita Harun.

Mohd Rizal didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan secara berperingkat dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,350 antara 16 Feb 2017 hingga 10 April 2017 manakala Mohd Hanafi didakwa dengan 10 pertuduhan iaitu menerima suapan keseluruhan berjumlah RM12,600 antara 14 Jun 2020 hingga 23 Januari 2023.

Mohd Shahril pula didakwa dengan 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM8,450 antara 9 April 2018 hingga 22 April 2023 dan Alias didakwa dengan empat pertuduhan berjumlah keseluruhan RM3,400 antara 16 Jun 2019 hingga 20 Julai 2022.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kajang, Bandar Baru Salak Tinggi dan Bandar Puchong Jaya.

Mereka didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir; Nurul Atiqah Mohamad Alias dan Maziah Mohaide sementara Mohd Rizal diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Muhammad Aizat Fakri mewakili tiga lagi tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 kepada Mohd Rizal dan Mohd Hanafie manakala Mohd Shahril dan Alias masing-masing RM10,000 serta RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekali setiap bulan dan tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

Semalam, empat anggota Kastam yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di mahkamah atas pertuduhan menerima suapan daripada syarikat sama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM39,750 sebagai dorongan tidak memeriksa lori yang membawa barangan dari kargo KLIA.

 

ROSLINA BINTI DIN