TAWAU, 18 Mei - RM50 juta diperuntukan untuk menaik taraf empat depoh tahanan Imigresen masing-masing di Kota Kinabalu, Sandakan, Papar dan Tawau.
Proses berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh dua tahun bermula tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Yussof berkata proses menaik taraf itu akan memfokuskan kepada pagar kawalan keselamatan dan pembinaan bilik tahanan.
'Setiap depoh akan diperuntukkan RM12.5 juta untuk dinaik taraf dimana ia melibatkan dari segi menaik taraf pagar untuk kawalan keselamatan dan begitu juga semua semua blok ini akan antaranya kita akan kita mewujudkan tingkat rehat (Rest Floor) iaitu satu aras tingkat yang mana tahanan akan tidur atau berehat tidak separas dengan lantai biara", ujarnya pada sidang media di Depoh Tahanan Imigresen di sini.
Tambah Sitti, kapasiti depoh juga akan dikurangkan daripada 7,200 kepada 5,000 tahanan dalam satu satu masa selain mempercepat penghantaran balik warga Indonesia dan Filipina bagi mengelak kesesakan di blok tahanan.
Dalam sidang media sama, Datuk Sitti Saleha memberitahu, 108 Pendatang Asing Tanpa Izin, PATI ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Mahir dan Op Kutip di sekitar Kunak dan Semporna.
74 daripadanya merupakan warganegara Filipina, enam warga China dan seorang warga Pakistan.
Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan dibawah seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan diri, seksyen 15(1) (c) tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan salah guna pas lawatan dibawah peraturan 39 (b).
'Operasi ini melibatkan 63 penguat kuasa yang telah memeriksa 1,200 individu di dua daerah itu dan 108 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan serta akan ditempatkan di depot tahanan di Tawau dan selepas hasil siasatan terhadap pekerja yang tiada dokumen, kita akan ambil tindakan kepada majikan terbabit," katanya.
Siiti Saleha menegaskan, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada majikan yang membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis mereka.
Operasi penguatkuasaan juga terus dipertingkat selain menyenaraihitamkan pelancong yang menyalahgunakan pas lawatan di Sabah.