fb fb fb fb fb

ELMU jalin kerjasama strategik perkasa pendidikan penguatkuasaan undang-undang

Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed (kiri) dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr.Sharifudin Md. Shaarani (kanan) bertukar-tukar dokumen / Foto ELMU

BANDAR ENSTEK, 8 Oktober- Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) hari ini menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua universiti, satu persatuan industri, dan sebuah syarikat penyedia program latihan bagi memperkukuh pendidikan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu adalah langkah tepat bagi menyokong usaha negara dalam memperkasa pendidikan penguatkuasaan undang-undang, kepimpinan, pengurusan, forensik, dan penyelidikan.

“Antara objektif MoU bersama USIM adalah untuk memantapkan kolaborasi akademik dari segi penyelidikan, program kepimpinan, dan usaha merangka kursus profesional jangka pendek.

"Sementara itu, MoU dengan UKM bertujuan memupuk pertukaran idea akademik dalam bidang pendidikan dan penyelidikan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut yang berlangsung di kampus ELMU, Bandar Enstek, di sini.

Beliau menegaskan, kerjasama dengan FSSM pula berhasrat untuk meneroka inovasi dalam pengajian dan aplikasi sains forensik serta mengeratkan hubungan antara pakar-pakar forensik dalam komuniti berkenaan.

Manakala, MoA dengan RAMS EduTech bertujuan memantapkan pengajian dan pembelajaran penguatkuasaan undang-undang melalui platform dalam talian.

“Melalui kerjasama ini, kami yakin dapat menginovasi platform dan kemudahan dalam pengajian dan penyelidikan serta memperkukuh keberkesanan sistem sedia ada dari segi pengetahuan dan pelaksanaannya,” ujar beliau.

Menurut Dr. Kassim, gabungan kerjasama pelbagai pihak ini mampu memberikan sokongan yang diperlukan untuk memperkasa tahap ilmu pengetahuan dan kemahiran, bukan sahaja kepada warga USIM, UKM, FSSM, dan ELMU, tetapi juga kepada pihak-pihak lain yang turut menerima manfaat daripada kolaborasi ini.

Dalam majlis tersebut, Dr. Kassim menandatangani MoU bagi pihak ELMU, manakala USIM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani. UKM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafar, dan FSSM oleh Presidennya, Datuk Dr. Yew Chong Hooi. Bagi pihak RAMS EduTech, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Brian Liew Yu Hoe, turut hadir bagi menandatangani MoA tersebut.

Kerjasama strategik berkenaan dijangka akan membuka ruang kepada inovasi baharu dalam pendidikan penguatkuasaan undang-undang dan mengukuhkan lagi kedudukan ELMU sebagai institusi pendidikan tinggi terunggul di Malaysia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD