KULAI, 28 Oktober – Elemen antibuli akan ditambah dalam Modul Karakter Murid Johor (KrMJ), bagi memperkukuh sahsiah dan disiplin pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, modul berkenaan akan diteruskan walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang memperkenalkan subjek pendidikan karakter di peringkat nasional.
“Modul itu kini diperkemas dengan elemen antibuli, pengurusan emosi dan nilai moral bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berperibadi mulia,” katanya.
- Elemen antibuli, pengurusan emosi dan nilai moral ditambah dalam Modul Karakter Murid Johor untuk kukuhkan sahsiah pelajar.
- KrMJ diteruskan walaupun KPM merancang subjek pendidikan karakter peringkat nasional.
- Inisiatif KrMJ sejak 2017 berteraskan 10 karakter utama dengan sokongan sekolah agama negeri.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 24 komputer riba kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Sayong Pinang, di majlis pelancaran “Pendidikan Literasi Digital Yayasan JCorp – Membina Generasi Sedia Masa Hadapan”, hasil sumbangan Yayasan JCorp dan Affin Bank bernilai RM143,000.
Untuk rekod, KrMJ yang diperkenalkan sejak 2017 merupakan inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri Johor berasaskan 10 karakter utama seperti patriotik, kepimpinan dan semangat sukarelawan, dengan sokongan sekolah agama negeri yang membantu memperkukuh disiplin pelajar.