fb fb fb fb fb

Elaun kritikal anggota bomba dalam kajian KPKT

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Disember- Kajian berhubung pemberian elaun kritikal kepada anggota bomba sedang dilaksana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ini bagi memastikan kebajikan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setara dengan badan beruniform lain.

Jelas Menteri KPKT, Nga Kor Ming, kebajikan anggota Bomba sentiasa menjadi antara tumpuan kementeriannya.

"Tentang elaun kritikal itu, kita sedang buat kajian. Perkara itu sentiasa dalam agenda kementerian untuk menambah baik aspek kebajikan.

Misi saya adalah untuk memastikan anggota bomba kita iaitu wira dan wirawati merah kita setanding dengan pasukan uniform yang lain. Aspek ini penting dan sewajarnya diberi perhatian penuh," kata Nga kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan sesi pelepasan Skuad Ihsan MADANI peringkat KPKT, di sini.

Dalam pada itu, seramai 125 sukarelawan Warga Kerja KPKT menyertai misi Skuad Ihsan MADANI bagi membantu penduduk terjejas banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah.

Bantuan disediakan termasuklah penyediaan jentera peralatan yang dikelolakan JBPM, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Jelas Menterinya, Nga Kor Ming berkata bantuan daripada aspek pembersihan pasca banjir juga telah digerakkan.

Jentera yang digerakkan termasuklah tiga buah kenderaan Compact Fire Rescue Tender, sebuah lori lima tan dan tong sampah roro.

Sehingga kini 82,000 anggota pelbagai agensi sudah dikerahkan bagi membantu negeri terjejas banjir.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM