KUALA LUMPUR, 1 Jun- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan masyarakat agar tidak menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja, demi menjaga ketenteraman awam.
Fahmi mengulas lanjut berhubung insiden membabitkan seorang pengawal peribadi kepada kerabat diraja, didakwa memukul seorang pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU), ketika menunggu penumpang baru-baru ini.
Tegasnya, masyarakat dinasihat untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu.
"Ketua Polis Negara beri jaminan bahawa siasatan akan dijalankan. Maka, kita serah dan letak kepercayaan kepada Tan Sri Razarudin Husain untuk lakukan siasatan."
"Saya percaya sekiranya terbukti bersalah, tidak ada sesiapa akan dilindungi dan ini juga pesanan saya sentiasa berhati-hati, kadang-kala kita beri komen, kita ingat komen itu pakai buang. Itu sikap tidak baik, jangan sampai mengeruhkan keadaan," kata Fahmi kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini.
Minggu lalu, seorang pemandu e-hailing OKU telah membuat laporan polis mendakwa dia telah dipukul oleh seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel di ibu negara.