BINTULU ,13 September- Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan spekulasi berhubung operasi bersepadu yang sedang dijalankan oleh beberapa agensi penguatkuasaan di kawasan Taman Negara Similajau.
Menurut kenyataan Sarawak Forestry Corporation (SFC), terdapat dakwaan berbaur hasutan yang mendakwa kerajaan bertindak tanpa berperikemanusiaan dalam mengusir penduduk di kawasan berkenaan.
SFC berkata operasi itu diterajui oleh SFC dan diselaraskan oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Peguam Besar Sarawak (SAGC) serta Pejabat Residen dan Daerah Bintulu.
Operasi ini dilaksanakan bagi menangani isu pencerobohan berterusan di kawasan “Taman Negara Similajau Ext. 1“ sejak tahun 2004.
"Pencerobohan tersebut melibatkan aktiviti pembalakan haram, penerokaan untuk pertanian serta pembinaan struktur haram oleh warga asing yang bekerja di kebun sawit milik peneroka haram", katanya.
"Sepanjang tempoh 20 tahun, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Hutan Sarawak dan SFC dalam membanteras aktiviti pencerobohan,” jelas SFC.
Dalam pada itu, operasi tersebut dilakukan setelah mendapat ‘warrant of eviction’ dari mahkamah untuk mengusir penceroboh yang menduduki taman negara tersebut secara haram.
Pengusiran ini dibuat mengikut bidang kuasa yang ditetapkan di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998, iaitu memasuki kawasan Taman Negara tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.
Taman Negara Similajau dengan keluasan 7,064 hektar, telah diwartakan pada tahun 1976. Manakala kawasan “Taman Negara Similajau Ext. 1”diwartakan pada tahun 2000. Persempadanan rasmi kawasan taman ini diperakui oleh Jabatan Tanah dan Survey pada tahun 2018.