KUALA LUMPUR, 18 Oktober-Seluruh kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan dan pemantauan terhadap semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dengan teliti.
Langkah itu bertujuan untuk menangani trend penglibatan pegawai polis dalam salah laku jenayah, dadah, dan isu disiplin yang semakin membimbangkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa tindakan sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati melanggar peraturan dan disiplin yang telah ditetapkan.
Beliau juga menekankan agar sebarang kepincangan tidak dipandang remeh, sebaliknya dijadikan pengajaran agar tidak berulang.
"Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan untuk mengesan salah laku pegawai polis.
"Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam salah laku yang mencemarkan imej pasukan.
"Justeru, saya mahu penyeliaan dengan pemantauan rapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, termasuk melalui pelaksanaan ujian saringan urin secara berkala.
"Selain itu, penyelia perlu memantau pegawai yang dikesan memiliki gaya hidup mewah yang melebihi kemampuan mereka.
"Tindakan tegas perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada jika terdapat penglibatan dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, atau kesalahan lain yang berkaitan," katanya semasa Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober 2024 di sini.