fb fb fb fb fb

Elak kongsi isu berkaitan 3R - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR , 5 Mei- Elak atau usah kongsi isu sensitif terutama berkaitan 3R (raja, agama dan kaum) kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengawal diri terutama ketika berkongsi isu sensitif berikutan terlalu banyak berita sedemikian yang dipolemikkan dalam pelbagai platform arus perdana dan digital.

"Perkara-perkara 3R terlalu banyak dijadikan polemik dan perdebatan maka kita harus tahu sensitiviti tiga perkara ini. Pada hemat saya harus terdapat keseimbangan dan biarlah tidak perlu perundangan untuk mengawal tetapi kita kawal diri.

"Terutamanya penulis-penulis yang harus menggunakan. sesuatu yang tidak sensitif untuk disampaikan dan bukan secara semberono menulis apa sahaja yang ada di benak pemikiran kita," katanya dalam Majlis Perasmian Kompleks Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Majlis Aidilfitri Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah GAPENA, ibu negara.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung prestasi Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 ,yang diterbitkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang menurun di tangga ke-107 berbanding ke-73 tahun lalu.

Ahmad Zahid mengakui elemen 3R memberi kesan langsung kepada ranking negara, oleh itu beliau mahu kerjasama di antara kementerian terlibat melakukan sesuatu agar kebebasan media dapat dipertingkatkan semula .

"Pihak Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi boleh melakukan sesuatu yang lebih baik agar soal kebebasan media ini dapat dipertingkatkan semula.

"Kita tidak boleh menggunakan acuan sesebuah negara itu untuk dijadikan sebagai piawaian kepada kita. Ianya harus dipersesuaikan dengan keadaan sensitiviti masyarakat di malaysia bukan hanya berbilang kaum apabila budaya dan agama, tetapi kita juga ada Raja-Raja," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI