Elak aktiviti kawasan terbuka, cegah hidrasi

Foto hiasan

PADANG TERAP, 12 Februari – Orang ramai terutama warga sekolah dan insitusi pengajian tinggi (IPT) dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka bagi mengelak dehidrasi yang boleh menyebabkan komplikasi seperti strok haba atau kegagalan organ jika tidak dirawat dengan cepat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurangkan aktiviti luar terutama pada waktu siang untuk mengelak dehidrasi dan komplikasi serius seperti strok haba.
  • Minum air secukupnya dan ambil langkah awal apabila bekerja atau beriadah di bawah panas terik.
  • Rujuk maklumat cuaca panas harian melalui laman web Met Malaysia untuk status dan amaran terkini.

Perkara itu susulan cuaca panas dan kering yang melanda Kedah sejak penghujung 2025 hingga kini yang dibimbangi boleh memberi kesan terhadap kesihatan.

Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, walaupun hujan turun beberapa kali sejak beberapa hari lalu, namun ia belum cukup untuk mengurangkan kadar suhu.

“Malah cuaca panas masih berlaku di Kedah terutama pada waktu siang. Orang ramai khususnya bagi mereka yang banyak melakukan kerja atau aktiviti di bawah panas terik perlu mengambil langkah awal termasuk meminum air yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Merbau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Merbau di SMK Lubuk Merbau, di sini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memaklumkan, lima kawasan di Kedah merekodkan tahap berjaga-jaga (Tahap Satu) susulan cuaca panas melibatkan Pokok Sena, Pendang, Baling, Padang Terap dan Kulim.

Menurut jabatan itu, tahap berjaga-jaga ialah suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Orang ramai boleh merujuk maklumat terkini status cuaca panas harian menerusi laman web https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ atau https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.