fb fb fb fb fb

El-Nino: Bekalan air di Melaka mencukupi sehingga Jun

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Melaka, Datuk Hameed (kiri) melawat Rumah Pam Sementara Kolam Alternatif di Tasik Ayer Keroh di sini hari ini.

AYER KEROH, 21 Mac- Bekalan air di Melaka masih terkawal dan mencukupi untuk kegunaan penduduk sehingga Jun ini walau cuaca panas serta kemarau akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini tiada isu berkaitan bekalan air kerana paras air di tiga empangan utama adalah mencukupi.

Katanya, paras air di tiga empangan utama iaitu di Durian Tunggal, Alor Gajah, Empangan Jus dan Empangan Asahan di Daerah Jasin setakat ini masih di paras normal dan tidak kritikal.

"Paras air di Durian Tunggal ketika ini adalah sebanyak 80 peratus, Empangan Jus pula mencapai 95.7 peratus dan Empangan Asahan pula diparas 95.5 peratus.

“Saya yakin jika berlaku musim panas berpanjangan tiga empangan ini masih mampu bertahan sehingga Jun jika tidak ada hujan langsung. Setakat ini tiada catuan bekalan air akan dilaksanakan dan Insya- Allah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini bekalan air adalah mencukupi," katanya selepas melawat Rumah Pam Sementara Kolam Alternatif di Tasik Ayer Keroh di sini hari ini.

Hameed berkata pihaknya mengambil langkah awal dengan beberapa pelan kontigensi bagi memastikan paras empangan di negeri itu berada pada paras normal dan tidak kritikal.

"Antaranya ialah langkah mengepam 47 juta gelen air sehari dari Sungai Grisek, Muar ke Empangan Durian Tunggal, selain mengepam 15 juta liter air sehari dari Tasik Ayer Keroh ke Sungai Melaka dari 4 Feb hingga 8 Mac lepas melalui Sungai Anak Ayer Padang Keladi.

"Juga langkah mengepam lima juta liter air sehari dari Kolam Kesang 1 ke Sungai Melaka, melepaskan air dari Empangan Durian Tunggal ke Loji Air Bertam dan Loji Air Bukit Sebukor, mengepam air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal dan lain-lain," katanya.

Kerajaan negeri juga katanya, telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

Bagaimanapun, pihak berkenaan melihat masih belum ada keperluan untuk melakukan proses itu di Melaka buat masa kini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI