KUALA LUMPUR, 2 Mei- Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) meluaskan pelaburannya dalam sektor farmaseutikal, iaitu sebuah pengeluar Bahan Aktif Farmaseutikal (API) tempatan, Symbiotica.
Ekuinas mengumumkan pengambilalihan 80 peratus pegangan dalam Symbiotica Specialty Ingredients Sdn Bhd yang pelanggannya merentasi pasaran tempatan dan lebih 70 negara.
Menerusi kenyataan, syarikat pelaburan modal itu berkata pemilihan syarikat tersebut berdasarkan prestasinya sebagai pengeluar API terkemuka di rantau Asia Tenggara, SEA.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Datuk Syed Yasir Arafat berkata, peluasan pelaburan ke sektor itu memandangkan ia merupakan salah satu penyumbang penting kepada ekonomi negara dengan potensi pertumbuhan yang luar biasa.
API juga dikenal pasti sebagai segmen pertumbuhan utama bagi sektor farmaseutikal dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu, NIMP 2030.
Symbiotica berada pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan trend makro dalam pertumbuhan masa depan sektor ini.
Justeru syarikat pelaburan modal itu berharap ia dapat melonjakkan pertumbuhan syarikat dan menyumbang kepada kemajuan sektor farmaseutikal Malaysia.