BERLIN, 14 Mac- Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, menggesa Jerman untuk mengambil pendekatan lebih inklusif dan adil berkaitan eksport komoditi itu ke Eropah.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika bertemu Naib Canselor, Robert Habeck yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Tindakan Iklim Jerman.
Kenyataan itu disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkongsi kebimbangan Malaysia mengenai dasar Kesatuan Eropah (EU) berkaitan perubahan iklim.
Ia termasuk Peraturan Penebangan Hutan yang sebaliknya boleh menjadi satu bentuk langkah dagangan bukan tarif.
Pertemuan turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.