KUALA LUMPUR, 25 November- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yakin nilai eksport kayu dan produk kayu mampu mencapai sasaran RM28 bilion, menjelang tahun 2025.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin menjelaskan sasaran itu didorong oleh penganjuran Ekspo Kayu Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 November tahun hadapan.
Menurutnya, acara itu dijangka menjadi platform strategik antara pembeli dan penjual produk kayu serta membuka peluang perdagangan antara Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Selain itu, Malaysia turut menekankan kepatuhan kepada piawaian antarabangsa mengenai kelestarian dalam industri perkayuannya.
"Ini menunjukkan produk kayu Malaysia mempunyai potensi yang besar. Saya percaya bahawa dengan penganjuran Ekspo Kayu Malaysia (MWE), ia akan memberikan banyak manfaat.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang sangat mematuhi aspek kelestarian," kata Datuk Chan kepada pemberita selepas pelancaran Ekspo Kayu Malaysia 2025.
Tambahnya, perkembangan eksport dari Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pada 2023, eksport kayu dan produk kayu mencatatkan nilai sebanyak RM21.8 bilion, menjadikannya produk eksport ketiga terbesar dalam sektor agrikomoditi selepas minyak sawit dan getah.