fb fb fb fb fb

Eksport barangan perkilangan dijangka meningkat lebih cepat pada separuh kedua 2024

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Kembalinya keyakinan dalam kalangan pengeluar Malaysia menunjukkan prestasi perdagangan luar dan aktiviti perindustrian yang meningkat pada separuh kedua 2024, menurut MIDF Research.

Eksport barangan perkilangan termasuk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum ditapis, bahan kimia serta jentera dan peralatan dijangka meningkat lebih cepat pada separuh kedua 2024.

“Kami menjangka peningkatan yang berterusan untuk eksport minyak sawit dan perlombongan berikutan harga komoditi global yang stabil.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan jangkaan kami untuk eksport barangan akan meningkat semula dan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2024 daripada penguncupan sebanyak 8.0 peratus pada 2023,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd Malaysia berkata sektor pembuatan dijangka mencatatkan pertumbuhan positif pada 2024, disokong oleh unjuran pasaran semikonduktor global yang menggalakkan.

“Eksport E&E, yang terdiri daripada lebih 40 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, dijangka mendapat manfaat dengan ketara.

“Walaupun terdapat risiko daripada ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi dalam kalangan rakan dagang utama, eksport Malaysia diunjurkan meningkat sebanyak 5.4 peratus pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, tadbir urus ekonomi yang dipertingkatkan, seperti yang dapat dilihat daripada penarafan daya saing yang lebih baik, mengukuhkan lagi prospek ini.

Oleh itu, ia menjangka Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Malaysia akan seiring dengan trend global, secara konsisten melebihi paras 50 sepanjang 2024, bergantung kepada kestabilan ketidaktentuan global.

Pelarasan bermusim IPP pembuatan Malaysia S&P Global meningkat kepada 50.2 pada Mei 2024 daripada 49.0 dicatatkan pada April 2024, peningkatan pertama sejak Ogos 2022.

Pengeluaran meningkat buat kali pertama sejak Julai 2022 berikutan pesanan baharu meningkat semula untuk mengakhiri penurunan selama 20 bulan berturut-turut.

Pesanan eksport turut mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun manakala beban kerja tambahan menyaksikan pengeluar menambah tenaga kerja mereka. Inflasi input dan output meningkat dari segi harga.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE