fb fb fb fb fb

Ekonomi Madani sasar jadikan Malaysia 30 ekonomi terbesar dunia

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto Bernama)

KUALA LUMPUR, 27 Julai- Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang telah digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang memberi kesan kepada rakyat.

Ekonomi MADANI menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun termasuk pertama meletakkan Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia.

"Kedua: Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia; Ketiga: Peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (nota: sasaran RMKe12 adalah 40% menjelang 2025) Keempat: Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%; Kelima: Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia. Keenam: Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan Ketujuh: Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah, kata Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat di sini. 

Bagi mencapai hasrat itu, beberapa ikhtiar serta kebijakan baharu bakal dilaksanakan termasuk membawa Malaysia menjadi Peneraju Ekonomi Asia dan untuk itu, struktur ekonomi perlu dirombak. 

"Antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah masalah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya. Umpamanya, sektor pembuatan telah merosot di bawah paras 25% kepada KDNK. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang bakal diumumkan pada bulan hadapan akan memacu semula perindustrian dan memangkin ekonomi baharu," katanya.

Menurut Perdana Menteri, kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal dibentangkan di Parlimen akan memberi ruang untuk kerajaan membuat penilaian semula dan menyusun keutamaan, termasuk mengadun sebuah pertumbuhan jangka sederhana dengan dasar fiskal yang lebih mampan.

Selain itu, Malaysia perlu meneladani negara-negara yang dahulunya jatuh, tetapi tangkas dan bangkit semula di hadapan.

"Mahu tidak mahu, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau. Kita perlu punyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi. Dengan demikian, kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana."

Tegas Perdana Menteri, sekiranya kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5%. Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5%, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6%.

Bagi merealisasikan sasaran itu, Malaysia perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan. 

"Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN" kata Anwar.

Jelasnya usaha sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas seperti melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.

"Selama ini, kita tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dan kimia secara keseluruhan. Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah NIMP akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi. Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design. Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia serta oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus (specialty chemicals)," jelas Perdana Menteri lagi.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

Sementara itu bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan “ease of doing business”.

“Maka, seharusnya diuar-uarkan ke seluruh pelosok dunia bahawa, Malaysia terbuka dan bersedia menerima kehadiran para pelabur dan perniagaan,” jelas Anwar.

“Alhamdulillah, setakat ini beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering,” tambahnya.

Bagi memperhebat usaha memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, tumpuan akan diberikan bagi memperkukuh agensi galakan pelaburan bawah MIDA termasuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan dengan memudah cara urusan pelabur secara lebih proaktif, mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan dan menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.

“Antaranya sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan pusat data di Sedenak, Johor dan industri hiliran getah di Kuala Nerang, Kedah dengan permulaan, RM100 juta disediakan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau,” jelas perdana Menteri.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran 
Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia/Foto Bernama)

Media Baharu