KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia antara sasaran utama dalam penstrukturan semula ekonomi negara menerusi kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan hari ini.
Perdana Menteri berkata jaminan 120 peratus akan membolehkan semua kos-kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabut dan kos ubahsuai.
"Kerajaan mendengar keluh kesah rakyat berkaitan hasrat untuk memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah.
"Perumahan juga merupakan keperluan asas yang mesti diberi tumpuan. Terdapat ketidakpadanan antara penawaran bekalan rumah baharu dan tahap kemampuan pada sudut permintaan," katanya.
Tambah beliau Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median.
"Penyediaan perumahan awam turut diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.
Oleh itu, kerajaan menyediakan RM5 bilion bagi menambah baik skim pinjaman di bawah SJKP.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.