fb fb fb fb fb

Ekonomi Johor bakal alami anjakan pesat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 18 April - Pertumbuhan ekonomi negeri Johor, bakal mengalami anjakan pesat dalam tempoh setahun dua lagi. 

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandukan prestasi ekonomi yang cukup baik disumbangkan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Beliau berkata, momentum positif itu turut mampu diraih menerusi pelaksanaan Zon Kewangan Khas di Forest City, Iskandar Puteri.

Pertumbuhan tersebut katanya turut dijangka mengatasi beberapa negeri-negeri utama lain, yang mempunyai rekod ekonomi baik. 

"Yang itu sedang dirangka tetapi yang pentingnya ialah kerana kemudahan ini akan membantu mempesatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan jangkaan Johor akan meningkat dalam masa setahun dua ini lebih pesat daripada beberapa negeri lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, di sini.

Dalam pada itu, Anwar turut beriltizam untuk menokhtahkan kadar kemiskinan tegar di Johor.

Katanya, ia mampu dicapai melalui beberapa inisiatif termasuk perlaksanaan JS-SEZ; Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura dan pembangunan sekitar Forest City, Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, usaha membantu rakyat miskin sejajar konsep Madani iaitu fitrah saling membantu sesama manusia terutama semasa sambutan bulan perayaan Aidilfitri.

"Fitrah ini bermakna hasrat untuk sentiasa membawa perubahan, apa erti pembangunan pesat kalau kita tidak mempedulikan nasib rakyat yang paling miskin dan tidak mempunyai kesempatan samaada orang Melayu, Cina, India, Orang Asli semua itu rakyat Johor dan rakyat Malaysia mesti diberi tempat dan mesti dibela dengan sebaiknya," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN