SUNGAI BULOH, 15 Mac- Dua pasangan suami isteri warga Thailand ditahan di Balakong, Selangor kerana disyaki menjual dan mengedar dadah di Lembah Klang.
Mereka ditangkap susulan penahanan dua lelaki warga tempatan bersama-sama 40 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 40.1 kilogram yang ditemukan di dalam sebuah kereta di Subang Jaya pada Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata menerusi serbuan itu, pihak polis turut merampas cecair ketum berisipadu 1.5 liter.
"Modus operandi sindiket ini adalah dua pasangan suami isteri warga Thailand itu menghantar bekalan dadah melalui khidmat 'transporter' warga Malaysia ke negara ini.
"Pasangan itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong dengan memandu kenderaan sendiri dan duduk di rumah inap desa yang disewa di Balakong, sebelum terlibat pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor.
Tambahnya, siasatan mendapati kedua-dua pasangan itu berjaya melakukan urus niaga dadah sebanyak dua kali pada tahun lalu sebelum kembali ke Thailand.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah daripada sindiket ini adalah berjumlah RM281,000.
"Pihak polis berjaya menyita sebuah Toyota Alphard milik pasangan itu bernilai RM120,000 dan enam barangan emas bernilai RM33,000," katanya.