KUANTAN, 29 November-Sistem Pentadbiran dan Pengurusan Tanah (e-Tanah) dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2027.
Sistem tersebut dibangunkan untuk memudahkan rakyat negeri Pahang bagi urusan berkaitan tanah termasuk permohonan tanah dan semakan status permohonan tanah secara dalam talian.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sepenuhnya sebanyak RM128 juta bagi membangunkan sistem tersebut tanpa melibatkan kos kerajaan negeri.
" Sehingga kini pihak kementerian dan kerajaan negeri dalam proses menyediakan kontrak perjanjian yang dijangka ditandatangani pada bulan Mac tahun hadapan", katanya demikian ketika menjawab soalan tambahan Adun Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang ingin mengetahui status terkini pembangunan sistem e-Tanah dan manfaat kepada rakyat pada Persidangan Dewan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini.