fb fb fb fb fb

Durian PROSPEK Pedu tawar kelainan kepada penggemar durian

(FOTO FB KEDA)

PADANG TERAP, 22 Jun- Durian PROSPEK Pedu boleh menjadi alternatif terbaharu kepada penggemar buah itu selain durian Batu Kurau, Balik Pulau atau Raub.

Justeru, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memberi perhatian penuh kepada Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) termasuk membantu pengusaha terlibat.

Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar berkata, setakat ini KEDA telah membantu 312 pengusaha di bawah PROSPEK melibatkan 12 kampung di Mukim Pedu, Padang Terap.

Kampung-kampung yang terlibat antaranya Kampung Padang Setol, Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang, Kampung Tong Pelu dan Kampung Kepala Batas.

Ia meliputi tanah seluas 259.706 hektar dengan hampir 20,000 pokok durian pelbagai jenis.
 
"Umum kita ketahui tanaman durian di Pedu ni memang ada kelainan tersendiri dan juga merupakan salah satu industri yang semakin berkembang. Tugas KEDA kepada mereka ini adalah memberi input-input dan juga memperbaiki saliran-saliran dan sumber-sumber dalam kita menyuburkan dan meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran durian yang mana ia bukan sekadar pusat pengeluaran durian tetapi menyumbang juga kepada agrpelancongan di daerah Padang Terap tu sendiri," katanya.


(Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar)

Beliau berkata demikian semasa Pesta Durian PROSPEK Pedu di Dataran Dewan Kampung Seladang Rebah, Pedu, Padang Terap, Kedah.
 
Untuk rekod, PROSPEK Pedu telah bermula pada tahun 2022 dengan tempoh pembangunannya sehingga 5 tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM8 juta.

Projek ini bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaiktaraf kemudahan prasarana di kampung-kampung sedia ada.
 

Media Baharu