KUCHING, 21 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Elektrik (Pindaan) 2023 yang antara lain mengemas kini Ordinan Elektrik bagi tujuan memajukan dasar-dasar kerajaan negeri mengenai peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui bersih.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti 14 Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata pindaan itu sekali gus meningkatkan, mengukuh dan menambah baik peruntukan dalam Ordinan sedia ada.
"Dengan pindaan ini, kerajaan Sarawak akan dapat memudahkan pelaksanaan strategi dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 untuk peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui bersih dan mewujudkan industri elektrik yang mantap dan dikawal selia dengan baik, untuk menyokong pembangunan mampan Sarawak bagi menjadi kuasa besar serantau ASEAN.
"Ia akan memberi peluang kepada rakyat dan pelabur kita untuk mengambil bahagian dalam penjanaan kuasa, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi Sarawak sumber pendapatan tambahan," katanya ketika menggulung pindaan rang undang-undang itu di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. - BERNAMA