fb fb fb fb fb

DUN Perlis lulus usul kutuk kekejaman dan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin

Usul itu dikemukakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli/ BERNAMA

KANGAR, 13 Disember- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan usul menzahirkan pendirian mengutuk kekejaman rejim Israel melakukan jenayah dunia serta penindasan terhadap rakyat Palestin.

Usul itu dikemukakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang kemudian disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis Asrul Aimran Abd Jalil. 

Semasa mengemukakan usul itu, Mohd Shukri antara lain mencadangkan tiada sebarang program hiburan berbentuk nyanyian dan tarian melalaikan sewaktu ambang tahun baharu nanti di negeri itu.

“Kerajaan negeri Perlis mengharapkan sokongan rakyat Malaysia khususnya di Perlis tidak berhenti setakat ini sahaja. Ketika mana kita masih menganjurkan pelbagai program hiburan yang terus melalaikan, saudara kita masih ditembak mati dan syahid di sana.

“Ketika mana kita mampu menyiapkan anak-anak kita untuk hadir ke sekolah, anak-anak lelaki Palestin baru-baru ini ditangkap dan disoal siasat oleh tentera Israel serta melebihi 300 buah sekolah terjejas dan tidak dapat beroperasi,” katanya pada persidangan DUN itu di Kompleks DUN di sini hari ini.

ADUN blok kerajaan negeri dan pembangkang iaitu Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) dan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) mengambil bahagian membahaskan usul itu sebelum ia diluluskan Sidang DUN Perlis.

Semasa membahaskan usul itu, Gan mengajak semua bersama-sama merenung dan merasai kepedihan melanda tanah Palestin yang terus menderita akibat konflik berlarutan malah perjuangan di Palestin bukan sekadar pertikaian politik tetapi ia juga mencerminkan perjuangan kemanusiaan.

“Palestin, sebuah tanah yang penuh dengan sejarah dan warisan budaya, kini digoncang oleh kekejaman dan ketidakadilan. Kemanusiaan diperlukan sekarang lebih daripada sebelumnya untuk memberikan suara kepada mereka yang terpinggir dan merayu untuk hidup dengan martabat,” katanya.

Sementara itu, Fakhrul Anwar antara lain menyebut negara Islam wajib segera bersolidariti membentuk blok kuasa berkesan bagi membantu Palestin serta bingkas dalam menggerakkan segala kekuatan dan kelebihan yang ada seperti kuasa bekalan minyak mentah, ketenteraan dan kempen memboikot barangan Israel serta negara sekutunya.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI