KUALA LUMPUR, 10 April - Penjawat awam dan pesara akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 pada 14 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata bayaran itu diawalkan berbanding 17 April selepas mendengar rayuan daripada penjawat awam dan masyarakat.
"Saya terima banyak permohonan, 17 April ke atas itu terlalu suntuk untuk membuat persiapan Hari Raya. Jadi kita awalkan, selewatnya 14 April kita selesaikan.
"Bayaran BKKA kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang dijadualkan pada 17 April ini, atas permintaan penjawat awam kita awalkan pada 14 April -- dapat gaji bolehlah belanja untuk persiapan menyambut Aidilfitri dan akhir Ramadan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya, Ipoh petang tadi.
Perdana Menteri juga berkata bayaran pencen untuk pesara turut diawalkan pada tarikh yang sama.
“Ini akan manfaat hampir 1 juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform meliputi Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba serta Sukarelawan Polis," katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zulkapli Mohamed, berkata kerajaan bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA 2023 daripada 17 April kepada 14 April.
"Sukacita dimaklumkan bahawa mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut untuk pembayaran emolumen bulan April penjawat awam.
Terdahulu tular di Whatsapp surat pekeliling mengenai perubahan tarikh bayaran emolumen bulan April serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitiri 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara.
Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya tarik pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian BKKA merupakan langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.
Semua penjawat awam gred 56 ke bawah yang masih berkhidmat sehingga 17 April 2023 termasuk lantikan kontrak akan menerima RM700 manakala BKKA sebanyak RM350 pula akan diberikan kepada pesara perkhidmatan awam.