fb fb fb fb fb

Dua warga emas duduki SPM di Negeri Sembilan

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Putra Hashim

SEREMBAN, 2 Januari- Di Negeri Sembilan, dua orang warga emas antara 16,929 calon menduduki SPM 2024.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Putra Hashim, berkata dua calon persendirian berusia lebih 60 tahun itu merupakan antara calon yang menduduki peperiksaan di Pusat SM Summit 2, Seremban.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan kali ini seramai 14,165 calon SPM sekolah kerajaan, 367 calon MRSM, 70 calon sekolah kerajaan negeri, 714 calon sekolah swasta, 572 calon persendirian dan 89 calon sekolah agama rakyat.

Tambahnya, seramai 10 calon SPM 2024 menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan dan kemalangan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM Tahun 2024, di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu, Kuala Klawang.

Sementara itu, JPNS telah membuka 145 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan 132 buah sekolah yang mempunyai calon SPM 2024.

JPNS juga bersedia dengan sebarang risiko sepanjang peperiksaan berlangsung termasuk menerusi Operasi Payung bagi menangani banjir serta jangkaan Luruan Monsun Timur Laut mulai pada 5 November 2025 sehingga Mac 2025.

Di Pulau Pinang, seramai 19,225 pelajar menduduki peperiksaan bertulis SPM 2024 membabitkan 155 buah pusat peperiksaan.

Pengarah Pendidikan Negeri, Wan Sajiri Wan Hassan memaklumkan, daripada jumlah itu seramai 17,419 pelajar merupakan calon sekolah kerajaan.

Tambah beliau terdapat enam pelajar yang mengambil peperiksaan di lima pusat peperiksaan hospital kerana menjalani rawatan  akibat kemalangan dan rawatan kesihatan.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke SMK Pondok Upeh Balik Pulau pada hari pertama peperiksaan pagi tadi.

Seramai 174 pelajar hadir bagi menduduki peperiksaan di Dewan Al Khawarizmi sekolah berkenaan.

Sementara itu di Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri telah merangka beberapa pelan sebagai persediaan dan persiapan sekiranya berlaku sesuatu isu atau situasi luar jangka seperti banjir dan sebagainya di negeri ini.

Menurut pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Arifin, pihaknya telah bersedia berdepan situasi luar jangka sekiranya berlaku banjir.

Di Perlis, seramai 3,551 calon pelajar menduduki peperiksaan SPM di 36 buah sekolah seluruh negeri itu.

Jumlah itu melibatkan 3,77 calon sekolah kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

262 calon MRSM, 51 calon sekolah Swasta, 116 calon persendirian dan 45 calon sekolah menengah agama rakyat.

Manakala 22 calon merupakan calon berkeperluan Pendidikan Khas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE