YEREVAN, 13 Februari - Armenia dan Azerbaijan saling menuduh antara satu sama lain susulan kejadian berbalas tembakan berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Yerevan mendakwa dua askarnya terbunuh dalam kejadian berkenaan yang berlaku di selatan Siunik.
"Tentera Azerbaijan melepaskan tembakan ke arah kedudukan tentera Armenia di sekitar Nerkin Hand (kampung)," kata kementerian pertahanan Armenia dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu turut menyebut dua askarnya terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Azerbaijan pula mendakwa tentera Armenia memulakan tembakan sebanyak dua kali di perkampungan Kokhanabi yang terletak di timur wilayah Tovuz, pada Isnin.
Armenia bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.
Yerevan dan Baku telah terlibat dalam dua peperangan pada 2020 dan pada 1990 an berhubung konflik Nagorno-Karabakh.
Wilayah berkenaan berjaya ditawan oleh Azerbaijan dalam satu serangan kilat pada tahun lalu.
Kira-kira 100,000 orang etnik Armenia melarikan diri dari Karabakh ke Armenia susulan serangan yang dilancarkan Azerbaijan sekali gus menyebabkan krisis pelarian di wilayah Nagarno-Karabakh.-AFP