fb fb fb fb fb

Dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual dikesan

Foto KKM

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua produk kosmetik didapati mengandungi racun berjadual.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menyatakan krim muka Ailas Wild Rose Petal dan krim malam Desha dikesan mengandungi racun berjadual jenis Tretinoin dan Merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata, notifikasi produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

"Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

"Produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

"Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari," kata Dr Muhammad.

Sehubungan itu orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya penjual dan pengedar juga diarahkan untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut dengan serta-merta.

Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Orang awam boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat menerusi Google Play Store," katanya.

TETITIA YUSOFF