fb fb fb fb fb

Dua PPS masih dibuka di Perlis

APM Batu Pahat

KANGAR, 11 Oktober- Hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka yang menempatkan 146 penduduk terjejas banjir daripada 49 keluarga di Perlis.

Ia sekali gus memberi gambaran keadaan banjir di negeri itu semakin pulih.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata, dua PPS berkenaan ialah di Kangar dan Arau.

"Bagi PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar, seramai 139 penduduk daripada 47 keluarga masih ditempatkan.

"Manakala di PPS SK Arau hanya 2 keluarga yang terdiri daripada tujuh penduduk masih menghuni PPS berkenaan," katanya.

Tinjauan RTM pada sebelah petang mendapati, paras air di beberapa kawasan kampung di sekitar Kangar dan Arau menunjukkan pengurangan secara drastik.

Manakala cuaca di Perlis hari ini cerah dan tiada hujan direkodkan.

Sementara itu di Perak, jumlah penduduk terjejas banjir kekal seramai 136 orang daripada 40 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di daerah Kerian.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 71 penduduk daripada 20 keluarga.

"Ia merangkumi penduduk kawasan Kampung Matang Tengah dan Kampung Beriai," katanya.

Manakala 65 penduduk daripada 20 keluarga pula masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Haji Amin, Bagan Serai.

Mereka dari Kampung Air Hitam 2; Kampung Parit Ali Kalang; Kampung Beriah, Alor Pongsu; Batu 40, Jalan Keretapi Bukit Merah dan Kampung Selekoh Matang Pasir.

Bagi perkembangan banjir di Batu Pahat, Johor angka penduduk terjejas banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Seri Bunut, kekal 17 orang daripada tiga keluarga.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan semua penduduk terjejas belum dibenarkan pulang berikutan paras air banjir belum surut, disebabkan fenomena banjir termenung.

Dalam pada itu, hasil pemantauan dijalankan Angkatan Pertahanan Awam (APM) pagi tadi mendapati, bacaan paras air terus meningkat di sekitar Kampung Talang Bunut, Kampung Olak Batu dan Kampung Parit Nipah Laut.

Manakala Sungai Sembrong di Batu Pahat mencatatkan bacaan amaran iaitu 3.21 meter, manakala Sungai Paya Dato di Mersing merekodkan bacaan waspada, 1.11 meter.

Di Kedah, jumlah penduduk terjejas banjir di empat daerah di negeri itu terus berkurangan.

Dua lagi PPS ditutup di Daerah Kubang Pasu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Darul Aman dan SK Bukit Tinggi yang ditutup pada pukul 3.30 petang tadi.

Setakat pukul 4.00 petang tadi, seramai 3,172 penduduk terjejas banjir daripada 986 keluarga masih ditempatkan di 19 PPS.

Jumlah itu berkurangan berbanding 3,360 yang direkodkan pada tengah hari tadi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI