fb fb fb fb fb

Dua orang rentung dalam kebakaran rumah kedai di Kedah

(Foto Orang Awam)

SUNGAI PETANI, 18 September- Dua mangsa yang belum dikenal pasti identiti ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan lapan buah rumah kedai dua tingkat.

Kebakaran berlaku di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda, Kedah, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 1.12 pagi.

"Beberapa buah jentera bomba dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Kuala Muda, Pulau Pinang diarah ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

"Kerja-kerja pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

"Api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 3.08 pagi.

"Kebakaran melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat kelas B, berkeluasan 20 x 80 kaki setiap sebuah.

"Setiap rumah berkenaan terbakar hampir 80 peratus.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis kemudian berjaya menemukan mangsa pertama pada pukul 3.19 pagi.

"Manakala mangsa kedua ditemukan pada pukul 6.00 pagi," kata Awang Hidzel menerusi kenyataan.

Tambahnya, kedua-dua mayat mangsa yang telah rentung diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


(Foto Orang Awam)

Media Baharu