fb fb fb fb fb

Dua maut, kereta langgar lori buat pusingan U

KLANG, 2 Mac- Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki terlanggar sebuah lori yang disyaki membuat pusingan U di hadapan Balai Polis Bukit Raja, Klang awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.29 pagi.

"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian. Laporan awal kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan dipercayai membuat pusingan U di hadapan balai polis berkenaan. Sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua lelaki dari arah Jalan Haji Sirat menghala ke Kapar telah melanggar lori berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa itu tersepit di dalam kereta dan dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan dibantu oleh sebuah jengkaut.

Bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan pemandu dan penumpang kereta.


(Anggota bomba membantu mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu)

Pihak ambulans mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Semakan dilakukan pihak berkuasa berdasarkan pendaftaran lori bagi mengesan pemandu yang melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu