fb fb fb fb fb

Dua maut kemalangan di Jalan Pan Borneo

Dua lelaki maut dalam kemalangan tragis yang berlaku di Sekaloh Jalan Pan Borneo, Bintulu-Miri, awal pagi tadi / Foto RTM

MIRI, 20 Disember – Dua lelaki maut dalam kemalangan tragis yang berlaku di Sekaloh Jalan Pan Borneo, Bintulu-Miri, awal pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, insiden tersebut melibatkan sebuah lori kargo yang merempuh bahagian belakang lori treler yang diparkir di bahu jalan berhampiran Ladang Tiga Suai.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Bonaventure Jimmat, 31, pemandu lori kargo dan kelindannya, Keeshen Marks Donald Bujang Nasil, 26.

Kedua-duanya tersepit di bahagian hadapan lori akibat impak pelanggaran.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun, mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak berkuasa.

Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 2.37 pagi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN