(FOTO FB Balai Bomba Penyelamat Mentakab)
TEMERLOH, 12 Mac- Dua lelaki rentung dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Rangers dinaiki mereka yang terbakar, selepas merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur, Kampung Cempaka, Temerloh, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan, manakala pemandu lori kontena yang membawa muatan alat ganti kereta, terselamat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.24 pagi.
Susulan itu, tujuh anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera dan tangki air bantuan daripada BBP Bukit Angin dikerahkan ke lokasi kejadian.
Ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah Ford Ranger dan lori kontena.
Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi pemadaman selesai dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
(FOTO FB Balai Bomba Penyelamat Mentakab)