
KUCHING, 20 Februari – Dua lelaki yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di Sarawak ditemukan lemas hari ini.
- Mayat Sabarudin Awang Kamarudin, 48, ditemui lemas kira-kira satu kilometer dari lokasi beliau dilaporkan tenggelam.
- Mayat Denickles Lesen, 20, ditemui lemas kira-kira 15 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi di Sungai Skrang.
- Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta mayat diserahkan ke hospital dan polis untuk tindakan lanjut.
Di Tanjung Manis, seorang lelaki yang dilaporkan hilang Rabu lalu ketika memukat udang di Pantai Belawai ditemukan lemas pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Sabarudin Awang Kamarudin, 48.
Mayat mangsa dijumpai pada pukul 9.48 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi beliau dilaporkan tenggelam.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari serta menyelamat (SAR) ditamatkan sejurus selepas penemuan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Sri Aman, seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Skrang turut ditemukan lemas hari ini.
Mayat mangsa dijumpai pada pukul 10.30 pagi, kira-kira 15 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Abang Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf berkata, mangsa dikenali sebagai Denickles Lesen, 20.
Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika mengendalikan sebuah bot.
Mayat telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.