fb fb fb fb fb

Dua lagi bekas petugas media terima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

Fahmi Fadzil menziarahi Jalil Mat Dom (baju hitam) dan Mohamed Ariff Esa (baju hitam) hari ini

AMPANG, 4 April- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada dua lagi bekas petugas media yang uzur dan sedang diuji dengan masalah kesihatan dan kesukaran hidup.

Mereka adalah bekas Penerbit Rancangan RTM, Jalil Mat Dom, 62, yang kini uzur dan sukar bergerak selepas diserang angin ahmar sejak 2019, dan bekas juruhebah Suara Malaysia Mohamed Ariff Esa, 76, yang mengalami masalah glukoma serta darah tinggi, selain menghidap masalah jantung sejak 2016.

“Apa yang kita lakukan hari ini bukan sahaja sempena sambutan Aidilfitri, tetapi secara berterusan untuk membantu dan mengenang rakan-rakan media yang telah berkhidmat dan menyumbang bakti dalam bidang ini.

“Ini juga memberi ruang kepada kementerian untuk mengeratkan silaturahim dengan mereka di samping mengenal pasti masalah dan isu-isu (kebajikan) yang dialami mereka, tindakan susulan akan kita ambil,” kata Fahmi ketika ditemui pemberita selepas kunjungan ke kediaman Jalil dan Mohamed Ariff di sini.

Hadir sama mengiringi Fahmi semasa penyampaian sumbangan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

SITI AISHAH MD ISA