KUCHING, 21 Februari- Seramai 15 individu daripada dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman di Kampung Siol Kandis, di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Alimaddia Bukri berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
"Ia berpunca daripada kebakaran di sebuah rumah sebelum terus merebak ke dua buah rumah bersebelahan. Namun tindakan pantas bomba, berjaya mengawal api daripada terus merebak dan menyebabkan rumah ketiga mengalami 10 peratus kerosakan," kata Alimaddia.
Alimaddia turut mengesahkan seorang mangsa, lelaki berusia 23 tahu turut mengalami sesak nafas dan hipotermia ketika cuba menyelamatkan harta benda miliknya.
Mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Seramai 25 anggota dari Balai Petra Jaya, Padungan dan Batu Lintang bersama dua jentera pemadam dikerah ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran itu.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.00 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.