DUNGUN, 2 Mac- Kegembiraan tiga sahabat mandi di Pantai Teluk Lipat, Dungun bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kanak-kanak berkenaan dilaporkan dibawa ombak besar ketika mandi di pantai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun yang juga Komander Operasi, Shahrizal Shamsudin berkata 22 anggota daripada BBP Dungun, BBP Chukai dan BBP Kuala Berang bergegas ke lokasi kejadian bersama tiga jentera, sebaik menerima panggilan kecemasan.
Mayat mangsa pertama, Mohamad Atiff Fardugi Zainudin, 11,ditemukan pada pukul 4.55 petang, 150 meter dari lokasi kejadian, manakala, mangsa kedua, Muhammad Danish Mikail Abdullah, 9, ditemukan pada pukul 6.24 petang, 300 meter dari lokasi kejadian.
Seorang lagi rakan mereka, Ahmad Azril Farhan Mat Zain, 11 tahun ditemukan selamat.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Kemudiannya, jenazah Mohamad Atiff dan Muhammad Danish Mikail dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika ditemui berkata kes lemas di negeri itu, amat membimbangkan di mana tujuh kematian direkodkan dalam tempoh dua bulan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa di Terengganu, menambah papan tanda amaran larangan mandi di kawasan yang sering berlaku tragedi lemas.
Beliau juga meminta semua ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan memantau setiap pergerakan anak-anak.
"Pihak polis menasihatkan ibu bapa supaya memantau dan juga mengingatkan anak- anak supaya tidak melakukan kegiatan di kawasan pantai ini kerana pantai sekarang masih berombak dan boleh mengundang pelbagai kejadian lemas," katanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Penolong Pesuruhjaya Hassan As'ari Omar ketika ditemui pula memaklumkan pihaknya mengenal pasti tujuh lokasi berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas.
Ini termasuk Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Kekabu di Marang, Lata Tembakah di Besut, Pantai Teluk Lipat, Dungun serta Pantai Pandak, Chendering.