fb fb fb fb fb

Dua individu termasuk warga emas maut dalam kebakaran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Disember - Kejadian kebakaran sebuah rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Datuk Senu di Sentul menyebabkan dua individu termasuk seorang warga emas meninggal dunia.

Komander Operasi Kanan Pegawai Kanan Bomba Kanan II Fathi Kameel Mohd Azri menerusi kenyataan memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima satu panggilan kecemasan melalui sistem MERS NG 999 pada pukul 7.18 pagi berhubung kebakaran itu.

"Dua individu terbabit merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 82 tahun ditemui di dalam tandas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Sentul selaku balai jagaan bersama Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya Pasukan Bomba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 20 x 20 kaki persegi," menurut kenyataan itu

Operasi pemadaman telah dijalankan menggunakan enam aliran hos daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar.

Api berjaya dikawal pada pukul 7.51 pagi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 40 peratus dan kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 8.27 pagi. Unit Siasatan Kebakaran masih mengenal pasti punca kebakaran itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI