fb fb fb fb fb

Dua hentian R&R di laluan Raub Bypass akan dibina - MB Pahang

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 11 April - Dua hentian rehat dan rawat (R&R) di laluan Raub Bypass antara yang dirancang pembinaannya dalam masa terdekat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri terlibat sama menyediakan tapak yang sesuai sebagai kemudahan untuk pengguna Lingkaran Tengah Utara (LTU).

Beliau berkata, pembinaan kemudahan itu juga dapat menjaga kebersihan lebuh raya tersebut.

“Yang pastinya dua kalau tidak silap saya, diantara Bentong ke Raub dan juga di sebelah Merapoh sana, itu yang akan dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kerajaan negeri termasuklah kerajaan tempatan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan sediakan tapak yang sesuai untuk dibina, selain itu tindakan jangka pendek, soal sabit dengan pembuangan sampah adalah Alam Flora, kerajaan tempatan dimana kita telah menyediakan tong-tong sampah untuk dibuang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Jelasnya, fasiliti itu kini dalam proses tindakan melibatkan pelbagai pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sebelum ini, media melaporkan ketiadaan kemudahan R&R menjadi antara alasan pengguna Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) membuang sampah terutama ketika singgah berehat di tepi laluan tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN