(Lokasi kejadian dan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa)
TUMPAT, 20 September- Dua orang lelaki ditemukan lemas selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai di Kampung Chenderong Kubu, di sini, Kelantan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.00 pagi itu, Eh Bau Eh Di, 43, dan sepupunya, Eh Heak Eh Yek, 54, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menziarahi waris yang meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Anuar Yacob berkata, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa merempuh pagar jambatan, sebelum kenderaan terbabit menjunam ke dalam sungai.
Operasi mencari kedua-dua mangsa bermula pukul 8.00 pagi tadi membabitkan permukaan sungai dan selaman.
Mayat Eh Bau ditemukan pada pukul 9.20 pagi, manakala Eh Heak pada 10.54 pagi oleh Pasukan Penyelamat di Air Balai Bomba Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa.
Seorang saksi, Abdul Halim Mamat, berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya sedang bermain karom di pondok berdekatan, kira-kira tiga meter dari jambatan tersebut.
Katanya, ketika menaiki jambatan tersebut, kenderaan terbabit dilihat mengiring ke kiri ke arah jambatan, sebelum merempuh pagar dan terjatuh ke dalam sungai.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
(Mayat mangsa kenderaan terjunam ke dalam sungai)