JOHOR BAHRU, 24 Januari - Seorang ibu dan anaknya ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang di parkir di tepi jalan hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda, di sini kira-kira pukul 10.00 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh mengesahkan penemuan mayat kedua-dua beranak itu tidak ada kaitan dengan kejadian jenayah.
Siasatan awal mendapati, perbualan terakhir bersama-sama rakannya menerusi aplikasi WhatsApp menunjukkan mangsa memaklumkan baharu selesai membeli-belah dan berhenti seketika di lokasi kejadian kerana berasa tidak sihat.
Kedua-dua mayat mangsa berusia 42 tahun dan 14 tahun itu, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan enjin kereta yang dinaiki mereka ketika itu didapati masih hidup.
"Kemungkinan disebabkan maklumat yang kami terima adalah disebabkan kebocoran tangki petrol di bahagian enjin, bukan tangki di mana disyaki minyak ini terjatuh ke kawasan enjin tersebut yang panas dan akibat daripada perwapan tersebut masuk dalam kereta melalui saluran pendingin hawa kereta itu," kata Balveer.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat.