fb fb fb fb fb

Dr. Sirajuddin mahu JAKIM terus proaktif

Sirajuddin Suhaimee

PUTRAJAYA, 4 Oktober- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee memberi fokus tentang pemantapan pemeliharaan pegangan akidah umat Islam dan penambahbaikan proses pensijilan halal JAKIM dalam usaha islah atau transformasi jabatan itu.

Jelasnya, beliau membawa hasrat Kerajaan MADANI menerusi Pelan Transformasi Al-Falah agar kesejahteraan kehidupan serta pegangan akidah ahli Sunnah wal jamaah yg diamalkan umat Islam di negara ini berkekalan.

Beliau juga mahukan JAKIM sebagai pengurus tadbir Islam di negara ini untuk lebih proaktif dan tidak terlalu defensif dalam menyantuni segala respon dan juga persoalan masyarakat terhadap isu-isu semasa.

"JAKIM perlu ada 'sense of urgency'. Kalau ada persoalan atau perkara yang dikemukakan, JAKIM perlu memberikan respon yang terbaik bagi menangani isu dan persoalan daripada masyarakat. Konteks penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam yang terbaik kepada umat Islam di Malaysia," katanya.

Katanya, beliau akan sentiasa bersikap terbuka dan mendengar pandangan daripada setiap sudut serta menyifatkan JAKIM antara jabatan kerajaan yang paling disayangi kerana sentiasa mendapat perhatian masyarakat menerusi pelbagai isu.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan JAKIM pertamanya di Putrajaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE