fb fb fb fb fb

Dokumentari khas Tun Abdullah bakal ditayangkan dalam masa terdekat - Fahmi

Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi/Foto Fail

KUALA LUMPUR, 15 April – Satu dokumentari khas bagi mengenang jasa dan legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disiarkan dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, langkah itu bagi memperingati sumbangan Perdana Menteri kelima negara selain memberi peluang kepada generasi baharu mengenali kepimpinan dan perubahan yang dilaksanakan semasa era pentadbirannya.

“Dalam masa terdekat, memang ada beberapa perkara yang sudah disediakan. Kita ingin rakyat mengenang kembali khidmat, jasa, dan bakti arwah Tun, terutama untuk generasi yang mungkin lahir pada zaman itu. Saya harap kandungan yang dihasilkan dapat menceritakan serba sedikit selok-belok perubahan dari segi keputusan kerajaan pada waktu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma BERNAMA di ibu negara hari ini.

Tambah Fahmi, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) telah diarahkan untuk menyediakan bahan berkaitan bagi penyiaran dokumentari khas berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN