fb fb fb fb fb

DOF akan terbit pelan tindakan pengurusan, pemuliharaan mapan penyu

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 25 November- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan menerbitkan Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu (Pelan 2) bagi memastikan usaha konservasi selaras dengan amalan mapan yang diterima pakai seluruh dunia.

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu sentiasa peka dengan isu pengurusan dan pemuliharaan spesies terancam terutama penyu yang menjadi khazanah marin berharga negara ini.

Justeru DOF sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan aktiviti kesedaran dan pemindahan maklumat kepada kumpulan sasar.

"Pelan Tindakan dan Pemuliharaan Penyu (Pelan 2) yang bakal diterbitkan bersandarkan kepada Akta Perikanan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) atau Enakmen Penyu di bawah undang-undang kerajaan negeri.

"Selain itu, 344 program tanggungjawab sosial (CSR) telah dijalankan di Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan DOF itu sebagai maklum balas terhadap laporan khas oleh portal berita Daily Express bertajuk ‘Reef Resorts Expands Hatchery’ pada 12 November lepas yang antara lain mendakwa tindakan orang ramai yang masih makan telur penyu dan tiada usaha penetasan menyebabkan kepupusan penyu belimbing di Terengganu.

Selain program CSR, DOF memaklumkan penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (IPPRA) di Dungun juga menjalankan lapan kajian berkaitan spesies marin terancam khususnya penyu bagi mengenal pasti status semasa spesies berkenaan, menerusi penyelidikan berterusan di beberapa negeri.

ZEHRA BINTI ZAMBRI