
IPOH, 14 Februari – Kerajaan melancarkan Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) sebagai langkah strategik memperkukuh institusi keluarga dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- DKKN menekankan pengukuhan institusi keluarga sebagai asas pembangunan negara melalui pendidikan kasih dan peranan keluarga.
- Dasar menggunakan pendekatan kitaran hayat keluarga, merangkumi praperkahwinan hingga penjagaan warga emas.
- SIKR menyediakan rangkaian keselamatan sosial bagi ketua isi rumah miskin terdaftar untuk lindungi daripada beban kewangan akibat kecacatan atau kematian.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini.
Datuk Seri Anwar ketika ucapan perasmian berkata, pembangunan negara yang mampan mesti berteraskan institusi keluarga yang kukuh dan sejahtera.
Menurutnya, walaupun negara kini rancak membincangkan soal ekonomi, teknologi maklumat, transformasi digital serta peralihan tenaga, asas kekuatan sebenar tetap bermula daripada keluarga.
“DKKN memberi peringatan dalam kita riuh-rendah dan sibuk mencari dana dan membina kekuatan negara dengan segala kecanggihan sistem pendidikan baru, kemudahan baru, jangan kita remeh dan tinggalkan asas pendidikan keluarga dan kasih keluarga sebagai pengkalan dan asas,” katanya.
DKKN diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Dasar berkenaan menggunakan pendekatan kitaran hayat keluarga, meliputi fasa praperkahwinan, pembentukan keluarga, keibubapaan hingga warga emas.
Ia disokong Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030 dan menggariskan lima teras strategik, 16 strategi serta 43 tindakan bersepadu.
Seiring pelaksanaan dasar itu, SIKR menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada Ketua Isi Rumah miskin tegar dan miskin berdaftar dalam sistem eKasih yang berdepan kematian atau hilang upaya kekal.
Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan keluarga terkesan, mengurangkan risiko kemiskinan akibat krisis mendadak serta memperkukuh perlindungan sosial negara demi kesejahteraan keluarga secara menyeluruh.