
KUALA LUMPUR, 18 Mac- Prestasi agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) tertinggi dalam tempoh lapan tahun adalah hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban pengurusan institusi.
- Pengumuman dividen dianggap khabar gembira menjelang Aidilfitri, tambah syukur dan ketenangan umat.
- Pembaharuan bertujuan mengangkat dan memartabatkan TH selaras semangat penubuhan berteraskan amanah.
- Diharapkan pengumuman ini memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha memelihara institusi demi kepentingan bersama.
- TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembaharuan itu juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.
“Alhamdulillah, pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.
“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi sejak 2018.